ISMA Menyeru Rakyat Malaysia Bersatu Hati Dengan Penduduk Palestin

Bangi, 31 Disember 2008 – Serangan terbaru tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza merupakan serangan paling buruk pernah dilancarkan dalam konflik Palestin-Israel sejak tahun 1967. Akibat serangan yang bertalu-talu ini, sehingga hari ketiga, Israel telah membunuh seramai 364 orang rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 1650 orang lagi. Sekiranya serangan ini berterusan, sudah pasti angka-angka ini akan meningkat secara mendadak.

Justeru ISMA menyeru rakyat Malaysia agar bersatu hati dengan penduduk Gaza yang sedang mengharungi detik-detik sengsara. ISMA berharap masyarakat Malaysia, terutamanya Muslim, akan lebih peka terhadap saudara-saudara seIslam di Palestin yang berusaha siang malam mempertahankan Masjid Al-Aqsa. ISMA juga berharap agar rakyat Malaysia bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan, terutama bantuan kewangan melalui NGO atau badan-badan yang dapat menyalurkan sumbangan tersebut terus kepada rakyat Palestin.

Kepungan dan sekatan ekonomi Israel ke atas Gaza sudah pun menafikan hak asasi rakyat Palestin dan mewujudkan krisis kemanusiaan yang terhebat dalam sejarah peradaban di Palestin. Namun, Israel bertindak lebih jauh dengan membedil Gaza dengan serangan udara yang dahsyat dan telah mengerahkan tentera daratnya, 6,500 tentera simpanannya serta kereta-kereta kebalnya bersiap sedia di sempadan Gaza-Israel.

Pengebomannya yang tidak mengenal sasaran telah melumpuhkan banyak infrastruktur asasi di Gaza seperti pejabat kerajaan, stesen televisyen, bangunan universiti, penjara, kabel elektrik, rumah-rumah penempatan awam, masjid serta kilang-kilang. Antara yang terbunuh dan cedera bukanlah semata-mata pejuang-pejuang dan pasukan keselamatan Palestin, bahkan rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil serta bayi yang belum mengenal erti kehidupan. Pihak hospital di Gaza, dilaporkan tidak mampu menampung pesakit yang semakin ramai kerana keterbatasan kelengkapan, ambulan dan ubat-ubatan.

Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat memberi alasan bahawa serangan dahsyat ini hanya bertujuan menghentikan terus serangan roket pejuang Palestin ke atas bandar-bandar di selatan Israel. ISMA berpendapat ini adalah satu pembohongan kerana kerajaan HAMAS telah pun menyatakan kesediaan untuk melanjutkan genjatan senjata sekiranya Israel membuka laluan sempadannya dan membenarkan bantuan kemanusiaan. Namun, Israel enggan menerima syarat tersebut. ISMA melihat tindakan Israel ini sebagai melampaui batas dan sengaja diatur untuk menggulingkan HAMAS dari kepimpinan rakyat Palestin dan menghukum rakyat Palestin seluruhnya. Di samping itu, Israel juga dilihat ingin mengalihkan pandangan dunia dari isu Masjid Al-Aqsa yang ingin ditawan Zionis.

ISMA ingin menyeru negara-negara Islam dan NGO-NGO Muslim agar bersatu mengutuk serta membantah kekejaman dan keganasan melampau Israel ke atas Gaza. ISMA juga menyeru masyarakat antarabangsa agar segera bertindak menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk di samping menggunakan segala kekuatan untuk menekan Israel agar menghentikan operasi penyembelihannya. ISMA sekali lagi menyeru rakyat Malaysia agar bersatu hati dengan penduduk Gaza dan bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan, terutama bantuan kewangan melalui NGO atau badan-badan yang dapat menyalurkan sumbangan tersebut terus kepada rakyat Palestin.

ISMA mendoakan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, agar bersabar, bersatu dan berpadu tenaga dalam mempertahankan maruah negara, agama dan bangsa. Semoga Allah SWT membantu dan mengukuhkan kedudukan kalian serta memberi kekuatan dan ketahanan menghadapi ujianNya.

Jawatan Kuasa Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: